KUALA LUMPUR 16 Mei - Kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi
Awang yang menganggap gesaan Datuk Harun Taib berhubung pelaksanaan
hukum hudud bersifat peribadi dan tidak mewakili pandangan parti adalah
sesuatu yang mengejutkan.
Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali berkata, beliau
sendiri tidak pernah terfikir ulama besar seperti Abdul Hadi boleh
melemparkan kenyataan negatif sedemikian terhadap Ketua Dewan Ulama Pas
itu.
Jelasnya, ia bukan sahaja menjatuhkan martabat rakan seperjuangan
tetapi boleh dilihat sebagai usaha tersembunyi melaga-lagakan kedua-dua
pemimpin utama parti berkenaan.
"Saya tersentak membaca ulasan Presiden Pas mengenai gesaan yang
dibuat oleh Ketua Dewan Ulama Pas berhubung perlaksanaan hudud. Saya
benar-benar terkejut dan terus meneliti komen beliau.
"Apapun, hati kecil saya tegas membisikkan bahawa komen yang
dilontarkan beliau bukan merupakan cetusan idea pemikiran dan
aspirasinya sendiri. Tetapi besar kemungkinan akibat pengaruh, desakan
dan tekanan orang sekeliling yang terdiri daripada parasit-parasit dalam
parti.
"Bagi mereka, membantu DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) memenangi
Putrajaya dengan apa cara sekalipun adalah lebih diutamakan daripada
perlaksanaan hudud dan syariat Islam," katanya melalui status Facebook
terbaru beliau hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Abdul Hadi menerusi akhbar milik
pembangkang kelmarin yang antara lain memberi jaminan kepada pimpinan
pembangkang bahawa Pas menolak pandangan Harun kerana ia tidak
mencerminkan kedudukan parti tetapi berupa pandangan peribadi.
Hasan berkata, dalam kepimpinan Pas, Harun adalah antara orang yang
paling dihormati Abdul Hadi yang bukan sahaja rakan fikrah sejak awal
remaja malah sentiasa bersama ketika jatuh dan bangun dalam arena
politik.
"Hubungan mereka lebih daripada 'aur dengan tebing'. Justeru komen
beliau itu seperti digambarkan dalam akhbar tidak dapat saya
mempercayainya," jelasnya.
Sumber: Utusan Malaysia 18 Mei 2012
No comments:
Post a Comment