"SELAMAT DATANG KEPADA PEMINAT-PEMINAT BLOG POLITIK TANAH AIR. MOHON JOIN BLOG INI KLIK PADA FOLOWWERS, T.KASIH"

Friday 22 June 2012

Keluarga Memali perlu pembelaan dari pimpinan PAS!

Pas tidak layak bercakap mengenai hasrat menubuhkan negara berkebajikan sekiranya nasib serta masa depan 14 keluarga yang terlibat dalam peristiwa Memali masih belum mampu dibela sehingga kini.
Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin berkata, kubur yang menempatkan jenazah mereka yang terbunuh dalam peristiwa itu juga terbiar dan tidak terjaga.
Malah, apa yang lebih menyedihkan katanya, tabung Memali yang dianggarkan bernilai jutaan ringgit bagi menjaga kebajikan balu-balu di Memali tidak sampai kepada pihak sepatutnya.
"Perkara ini didedahkan sendiri seorang aktivis Pas yang dipanggil Cikgu Non atau nama penuhnya Zainon Ismail atau juga dikenali dengan nama pena, C.N Al-Afghani.
"Beliau pernah mengarang sebuah buku bertajuk Mohd. Sabu Air Mata di Bumi Memali, namun buku ini dihalang penjualannya oleh Pas berikutan pendedahan yang dibuat," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Debat Rakyat: Menentang Amalan Jahiliah di Taman Desa Sentosa, Dusun Tua, malam tadi.
Buku tersebut mengundang kontroversi apabila penulisnya mendedahkan wujud penyelewengan dan penipuan berjuta-juta ringgit milik berpuluh-puluh anak yatim, 14 balu dan 200 mangsa Memali oleh Pas.
Akibatnya, seperti ada arahan rasmi buku tersebut dilarang dijual ketika berlangsungnya Majlis Memperingati 25 Tahun Memali pada November 2010.
Menyentuh isu sama, Zulkifli turut mempersoalkan taraf mati syahid yang dianugerahkan pemimpin Pas ketika itu kepada Ibrahim Libya serta rakan-rakannya yang terbunuh dalam peristiwa tersebut.
Katanya, ekoran pengiktirafan 'mati syahid' itu, jenazah Ibrahim Libya serta rakan-rakannya yang lain tidak dimandikan, dikafankan dan disembahyangkan.
Sedangkan tambah beliau, Ibrahim Libya turut membunuh anggota polis yang seagama dengannya dalam peristiwa tersebut.
Dalam perkembangan lain, Zulkifli meminta rakyat menolak kepimpinan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana pemimpin itu sememangnya tidak layak menjadi Perdana Menteri.
"Seperti saya katakan sebelum ini, Anwar merupakan penyokong fahaman pluralisme yang mana ia jelas bertentangan dengan Islam serta pendirian Pas sebagai sebuah parti yang mendakwa memperjuangkan Islam.
"Anwar juga sebelum ini menyokong penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama Kristian. Ia menjadi sebab mengapa saya menentang beliau dan kemudian terus dipecat daripada parti," katanya.
Berdasarkan fahaman pluralisme, Zulkifli berkata, Anwar pernah menyatakan bahawa semua agama di dunia ini adalah sama.
"Kenyataan ini jelas bertentangan dengan ajaran Islam. Tiada agama lain yang boleh mengatasi Islam dan itu jelas termaktub di dalam al-Quran dan hadis.
"Agama di sisi Allah SWT hanya Islam sahaja," katanya.